5 NOV: Polis mengesahkan kes video tular wang kertas RM50 yang diselitkan pada setiap bekas makanan dan diagihkan kepada warga emas, bukan berlaku di Melaka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Azlan Abu berkata pengagihan bungkusan makanan itu juga tiada kaitan dengan aktiviti meraih undi sempena dengan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Semalam telah tular satu gambar yang dimuat naik oleh beberapa akaun media sosial Facebook yang menunjukkan terdapat beberapa bungkusan makanan telah diselitkan wang tunai.
“Hasil semakan oleh pihak polis bagaimana mendapati agihan bantuan makanan dan wang tunai RM50 kepada orang tua itu bukan berlaku di Melaka dan tidak terkesan sebarang aktiviti meraih undi atau apa jua lambang mahupun elemen parti politik di dalam kandungan video tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Azlan berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan oleh mana-mana pihak.
Bagaimanapun, polis, katanya, tetap menjalankan siasatan dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Pihak polis ingin mengingatkan agar orang ramai tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih atas tujuan dan kepentingan sendiri yang mana tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi bagi setiap kesalahan yang dilakukan.
“Dalam pada itu, mana-mana individu yang mengetahui tentang kejadian bolehlah berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Md Assyukri Saini di talian 016-7530492,”tambahnya.
Sebelum ini tular video berdurasi dua minit 17 saat memaparkan kumpulan warga emas sedang beratur bagi mengambil bungkusan makanan yang diselitkan dengan wang tunai RM50.