6 NOV: Projek pembinaan jambatan baharu di Kampung Setol, Yan bagi menggantikan jambatan lama yang runtuh akibat bencana banjir lumpur pada 18 Ogos lalu, kini berada di peringkat perolehan.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, untuk sementara waktu, sebuah jambatan Bailey sedang dalam proses pembinaan sebagai alternatif bagi kemudahan penduduk.
“Selepas selesai proses tender, barulah jambatan baharu akan dibina. Bagaimanapun proses itu sudah tentu akan mengambil masa juga kerana melalui proses reka bentuk dan sebagainya.
“Jadi kita putuskan untuk membina Bailey Bridge bagi memberi kemudahan kepada penduduk.”
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Sanjungan Budi KEMAS Peringkat Negeri Kedah di Dewan Kolej Mara Kuala Nerang di Padang Terap, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 102 pegawai dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menerima anugerah tersebut, manakala 51 pesara dan bakal pesara Pegawai dan kakitangan KEMAS juga diraikan.
Khamis lalu, lebih 500 penduduk di Kampung Pauh dan Kampung Setol menggesa kerajaan agar segera membina jambatan baharu demi kemudahan penduduk di situ.
Menurut penduduk terlibat, kemusnahan jambatan lama menyebabkan mereka terpaksa menggunakan laluan alternatif yang jaraknya dua kali ganda berbanding sebelum ini.
Mengulas lanjut Mahdzir berkata, selain projek jambatan tersebut, kerja-kerja baik pulih yang lain di kawasan daerah itu tetap berjalan.
KPLB katanya telah menyediakan peruntukan berjumlah RM3 juta bagi pembaikan dan pemulihan kawasan yang dilanda bencana itu.
“Antaranya pemulihan jalan kampung, pemulihan surau serta kubur,” katanya.