7 NOV: Aplikasi MySejahtera hari ini memohon maaf atas kesilapan teknikal membabitkan pemberian status Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan Individu dalam pemantauan (PUS) kepada beberapa individu.
Menerusi laman Twitternya, MySejahtera menjelaskan masalah berkenaan sudah diperbaiki dan kesemua status HSO telah dipadam serta status PUS pula ditarik semula.
Ia selepas beberapa individu mendakwa status mereka di MySejahtera bertukar kepada HSO dan PUS sejak awal pagi ini.
Ada juga dalam kalangan mereka mendakwa status MySejahtera mereka kembali kepada asal selepas mendapatkan bantuan di ruangan ‘helpdesk’ dalam aplikasi itu.