8 NOV: Polis India memburu pemilik kira-kira 100 akaun media sosial atas dakwaan menyebarkan berita palsu berikutan serangan ke atas masjid di timur laut negara itu.
Kejadian keganasan yang berlaku bulan lalu itu didakwa sebagai serangan balas dendam selepas pembunuhan beberapa penganut Hindu di seberang sempadan di Bangladesh yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Insiden itu meletus di negeri Tripura itu membabitkan ratusan pengikut kumpulan nasionalis Hindu sayap kanan menyebabkan empat masjid dirosakkan dan beberapa rumah serta perniagaan milik orang Islam turut digeledah.
Menurut maklumat dari seorang pegawai kanan polis, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja memanjangkan keganasan itu dengan berkongsi imej mengelirukan di media sosial selepas kejadian berkenaan.
“Terdapat akaun media sosial yang dikenal pasti menyebarkan khabar angin, berita, gambar dan video palsu yang tidak mempunyai kaitan dengan Tripura.
“Walaupun siasatan masih di peringkat awal, namun semua individu yang dikenal pasti akan ditahan atas kesalahan terbabit,” katanya.
Sementara itu, laporan polis yang diberikan kepada media semalam mengenal pasti sebanyak 102 muat naik oleh pemilik akaun yang tidak diketahui bertujuan mencetuskan konflik antara ‘individu yang berbeza agama’.
Menurut laporan media tempatan, pihak polis terpaksa meminta bantuan Facebook, Twitter dan YouTube supaya muat naik itu dipadamkan.
Serangan bulan lalu menyebabkan Tripura berada dalam keadaan berjaga-jaga, dengan pasukan keselamatan mengawal masjid, sementara polis melarang perhimpunan melebihi empat orang.
Tripura diperintah oleh Parti Bharatiya Janata pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi.
Sejak parti nasionalis Hindu itu berkuasa pada 2014, pemimpin masyarakat Islam minoriti India mendakwa mereka semakin terdedah kepada serangan dan ancaman, namun sukar mendapatkan bantuan rasmi.