9 NOV: Tragedi kebakaran sebuah kelas yang diperbuat daripada jerami dan kayu mengorbankan sekurang-kurangnya 26 murid berusia antara lima dan enam tahun di Maradi, Niamay semalam.
Datuk Bandar Maradi, Chaibou Aboubacar berkata, seramai 26 murid meninggal dunia, empat parah dan 13 lagi cedera.
“Kejadian ini sekali lagi meletakkan rakyat Niger dalam kesedihan,” kata kerajaan yang telah mengisytiharkan wilayah Maradi berkabung selama tiga hari, bermula hari ini.
Dilaporkan 20 kanak-kanak yang terkorban adalah dari sekolah daerah Niamey yang terbakar pada April lalu.
Insiden seperti itu adalah perkara biasa di Niamey, namun jarang mengakibatkan kemalangan jiwa.
Susulan kejadian itu, semua bilik darjah yang dibina daripada jerami dan kayu diharamkan serta-merta di seluruh negara.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Guru Niger, Issoufou Arzika berkata, kebakaran amat menyusuk jiwa rakyat dan ia ibarat memusnahkan seluruh sekolah di Maradi.
“Kesatuan kami mendesak kerajaan mengambil tindakan segera mengenai tahap bahaya sekolah yang dibina menggunakan jerami dan kayu ini.
“Adalah lebih baik mengendalikan kelas di bawah pokok daripada di pondok jerami yang mungkin menjadi kubur kepada murid apabila ia terbakar,” tegasnya.
Niger antara negara termiskin dunia, dikatakan cuba mengatasi isu kekurangan bangunan sekolah dengan membina beribu-ibu bangsal menggunakan jerami dan kayu dijadikan bilik darjah.
Presiden Mohamed Bazoum baru-baru ini berjanji untuk menggantikan struktur sekolah kayu.