9 NOV: Seramai 4,186 daripada lebih 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang tamat tempoh khidmat wajib selama dua tahun sudah dinilai dan boleh diperakukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dilantik secara tetap, pada tahun depan.
Menteri Kesihatan, Khair Jamaluddin Abu Bakar, berkata proses pelantikan 4,186 perjawatan pegawai merangkumi 3,186 pegawai perubatan, 300 pergigian dan 300 pegawai farmasi ke perjawatan tetap berkenaan akan memberikan implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan sebanyak RM337 juta, mulai tahun depan.
Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri ada 14 Julai lalu, Khairy berkata kerajaan juga membuat keputusan supaya pegawai perubatan lantikan kontrak yang telah melengkapkan tempoh khidmat wajib selama dua tahun dilanjutkan kontrak mereka selama dua tahun lagi.
Beliau berkata langkah berkenaan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan membolehkan mereka menyambung pengajian kepakaran.
“Oleh itu menerusi pembentangan Belanjawan 2022 kerajaan bersetuju menyambung pelantikan secara kontrak kepada 10,583 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi lantikan kontrak dengan peruntukan RM336.35 juta.
“Kerajaan juga akan menyediakan RM100 juta bagi manfaat kepada lebih 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian bagi penajaan program kepakaran,” katanya ketika menjawab soalan di sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen hari ini.
Khairy berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen PH-Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menanyakan berapa implikasi tambahan kewangan KKM jika kerajaan setuju mengambil doktor kontrak ke jawatan tetap.
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk mengambil doktor kontrak ke jawatan tetap.
Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata ini kerana menganggap doktor kontrak juga merupakan barisan hadapan dan isu hartal doktor kontak ini sudah berlarutan.
“Sebab itu desak kerajaan supaya berikan keadilan pada mereka lantik secara tetap dan implikasi kewangan itu saya tidak fikir menjadi satu alasan munasabah,” katanya.
Anwar juga meminta Khairy memberi jaminan supaya lantik 10,500 doktor kontrak ke lantikan tetap.
Bagaimanapun, Khairy berkata pandangan beliau tidak jauh dengan Anwar mengenai lantikan doktor kontrak.
Khairy menjelaskan KKM sudah menubuhkan jawatankuasa khas bagi melihat unjuran mereka berapa ramai doktor kontrak yang diperlukan untul dilantik ke jawatan tetap.