9 NOV: Biarpun PKR dan Amanah menerimanya, namun DAP tetap menolak pencalonan Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke, berkata pendirian DAP tidak berubah walaupun Idris dan Nor Azman secara rasmi bertanding mewakili PH, masing-masing di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan dan Pantai Kundor.
“Pendirian kami jelas DAP menolak pencalonan mana-mana pembelot termasuk dua individu itu (Idris dan Nor Azman).
“Perkara ini kami suarakan dalam Majlis Presiden PH, namun seperti dinyatakan Setiausaha Agung DAP, dua lagi parti memilih untuk menerima mereka.
“Pendirian kami tidak berubah dan masih tidak bersetuju dengan dua pencalonan itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Melaka di Klebang di sini, hari ini.
Semalam, Idris hadir ke pusat penamaan calon DUN Asahan di Dewan Besar Kolej Komuniti Selandar, Jasin sebagai calon PH daripada PKR, manakala Nor Azman pula hadir di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Gelam (SMKKG) sebagai calon DUN Pantai Kundor mewakili PH daripada AMANAH.
Mengulas lanjut, Loke berkata, pencalonan kedua-dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO itu turut mendapat reaksi negatif daripada penyokong DAP yang kecewa dengan keputusan Majlis Presiden PH.
“Kami bertemu penyokong DAP yang tidak berpuas hati dengan penerimaan mereka sebagai calon PH.
“Namun, kami terpaksa jelaskan pendirian DAP, selain mereka tidak boleh mengundi atas faktor ini sahaja kerana jika mereka tidak mengundi PH, pihak lain akan menjadi kerajaan,” katanya.
Walaupun kecewa dengan pencalonan itu, Loke menegaskan DAP tetap mahu PH memenangi PRN Melaka dengan memastikan lapan kerusi yang ditandingi DAP menang dalam pilihan raya itu.
“Jika PH berjaya membentuk kerajaan baharu di Melaka, pendirian DAP adalah kami menyokong Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari sebagai Ketua Menteri Melaka,” katanya.