12 NOV: Penganjur Pertama Festival Seni Silat Secara Maya dan Demonstrasi Aliran Pengurusan Silat Terbanyak Secara Maya berjaya mencipta dua rekod dalam The Malaysian Book of Records (MBOR).
Program ini diadakan sempena Festival Seni Silat Wilayah Persekutuan 2021 yang diadakan tiga hari bermula hari ini hingga Ahad.
Majlis penyampaian sijil MBOR disampaikan Pengarah Pembangunan Perniagaan MBOR, Jwan Heah Yeow kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, di Putrajaya hari ini
Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan,
Datuk Seri Rosida Jaafar.
Sementara itu, Shahidan berkata, festival secara maya yang julung kali diadakan ini selari dengan usaha KWP memartabatkan silat di peringkat dunia.
Malah, katanya, Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) juga meletakkan silat sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan milik Malaysia.
“Terdapat 46 jenis aliran atau perguruan silat asli di Malaysia, jadi, kementerian akan berusaha menyatupadukan aliran perguruan ini bagi membantu memartabatkan imej silat agar dikenali ramai.
“Mereka akan mempamerkan silat perguruan masing-masing dalam satu platform yang diadakan serentak secara maya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Seni Silat Wilayah Persekutuan 2021 di Putrajaya hari ini.
Antara pertubuhan seni silat yang terbabit adalah Pertubuhan Seni Silat Terlak Tunggal, Pertubuhan Seni Silat Burung Rajawali Putih, Persatuan Silat Kalimah Kuala Lumpur ,Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia dan Pertubuhan Seni Silat Sendeng Pusaka Warisan Bangsa.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata KWP juga sedang kenal pasti 3 tapak sesuai dijadikan arena silat di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan, tidak lama lagi.
Beliau berkata langkah itu selaras usaha memelihara warisan bangsa dan memudahkan penggiat seni silat menjalankan pertandingan serta mengadakan pameran kepada orang ramai.