15 NOV: Tujuh syarikat tempatan berjaya mencatat jualan RM284.4 juta dalam Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) Keempat 2021 yang berlangsung secara hibrid pada 5 hingga 10 November lalu.
Syarikat terbabit menawarkan produk dan perkhidmatan seperti pembungkusan dan pengujian untuk industri semikonduktor, mesin peralatan pengujian bagi industri elektronik, kabel dan wayar, peranti perubatan pakai buang serta keperluan barang kemas dan busana pengantin.
Acara tersebut telah diselaraskan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
“Hasil jualan positif yang dicatatkan oleh syarikat-syarikat Malaysia terbabit merupakan bukti permintaan tinggi terhadap produk-produk Malaysia dalam pasaran China, terutama dalam tempoh pascapandemik ini.
“Acara CIIE 2021 tersebut juga terus berperanan sebagai platform penting untuk produk-produk import China, terutama dari Malaysia,” kata Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Shanghai, Syed Mohamad Fairus Shaik Ismail dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau turut menyifatkan platform tersebut dapat mewujudkan kesedaran serta akses bagi pasaran baharu muncul seperti bandar-bandar peringkat rendah di China.
Pada CIIE kali ini, MATRADE telah mengatur lebih 280 mesyuarat perniagaan antara pempamer dan pembeli berpotensi dari China.
Produk-produk Malaysia yang mendapat permintaan tinggi termasuk pembungkusan, portfolio ujian untuk industri berteknologi tinggi, barang kemas buatan khusus dan busana pengantin.