15 NOV: Kerajaan negeri Terengganu mengembalikan pemberian dana raya kepada rakyat negeri ini yang layak melalui bantuan i-Fitri pada tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membentangkan Belanjawan 2022 berkata, bantuan berjumlah RM400 kepada 31,500 isi rumah miskin itu akan disalurkan menjelang hari raya nanti.
“Bagi isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 pula, bantuan i-Fitri diberikan adalah RM250 melibatkan 83,500 penerima,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-4 Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) hari ini.
Dalam belanjawan bertemakan ‘Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua’ itu, kerajaan negeri turut mengumumkan bantuan tunai one-off bernilai RM150 kepada 6,000 isteri ketua isi rumah berdaftar dengan e-Kasih dan ibu tunggal berpendapatan di bawah RM2,500.
Menurutnya, usaha itu bagi menyokong kehidupan isteri dan kaum ibu di negeri ini.
Ahmad Samsuri berkata, Terengganu juga akan menyalurkan bantuan tunai one-off bernilai RM150 kepada belia di negeri ini bagi menyokong kewangan kumpulan berkenaan.
Bantuan itu katanya, akan memberi manfaat kepada 66,400 belia bujang berumur antara 18 hingga 39 tahun dan 21,800 mahasiswa daripada isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah.
“Buat 8,900 orang kurang upaya (OKU) daripada isi rumah berpendapatan RM4,00 dan ke bawah pula, mereka akan menerima bantuan tunai one-off bernilai RM150,” katanya.