16 NOV: Bekas diplomat Amerika Syarikat (AS), Bill Richardson berjaya berunding dengan junta tentera dan membebaskan wartawan AS, Danny Fenster dari penjara Myanmar semalam.
Fenster, 37, pengarang urusan majalah dalam talian bebas, Frontier Myanmar, ditahan pada Mei lalu dan dijatuhi hukuman penjara 11 tahun.
Dia dituduh menghasut dan melanggar undang-undang mengenai imigresen dan perhimpunan yang menyalahi undang-undang.
Tindakan Myanmar itu mendapat kecaman masyarakat antarabangsa.
Fenster meninggalkan Myanmar bersama Richardson dengan menaiki penerbangan ke Qatar. Pejabat Richardson memuat naik gambar kedua-dua mereka sedang menaiki pesawat itu.
“Kami sangat bersyukur apabila akhirnya Danny dapat kembali kepada keluarganya yang banyak memberikan sokongan dalam menghadapi dugaan berat,” kata Richardson dalam satu kenyataan selepas mengunjungi Myanmar awal bulan ini.
Fenster adalah antara puluhan petugas media yang ditahan di Myanmar sejak rampasan kuasa 1 Februari lalu, sekali gus mencetuskan kemarahan ramai berikutan tentera cuba menghapuskan protes demokrasi dan perbezaan pendapat.
Richardson, bekas gabenor New Mexico, setiausaha tenaga AS dan duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), membuat lawatan mengejut pada 2 November lalu ke Myanmar atas kapasiti kemanusiaan.
Beliau satu-satunya pegawai asing yang pernah berjumpa Ketua Junta, Min Aung Hlaing, di Myanmar sejak beliau mengetuai tentera.
Jeneral itu adalah antara beberapa individu yang disekat oleh AS dan beberapa negara Barat.
Pertubuhannya berkata, pembebasan Fenster berhasil selepas lawatan peribadi itu dan ‘rundingan bersemuka’ dengan Aung Hlaing.
Fenster adalah wartawan Barat pertama dijatuhkan hukuman penjara dalam beberapa tahun ini di Myanmar.
Rampasan kuasa terhadap kerajaan dipilih yang diketuai pemenang Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi, menyebabkan negara itu huru-hara, dengan jeneral bergelut untuk menyatukan kuasa dan menghadapi tekanan antarabangsa yang semakin meningkat.