16 NOV: Kelab Bola Sepak Kerteh (Kerteh FC) dan Yacob Tahir Enterprise Sdn Bhd melakar sejarah tersendiri apabila melancarkan produk beras Premium Super Import Cap Buah-Buahan di Kerteh hari ini.
Lebih menarik, produk terbaharu kelab itu turut memaparkan logo, warna rasmi dan elemen-elemen kelab bukan sahaja pada plastik bungkusan beras tetapi akan diletakkan pada kenderaan pengangkutan seperti lori tangki dan kargo syarikat tersebut bagi tujuan iklan dan komersial.
Selain itu, logo beras Cap Buah-Buahan pula akan diletakkan pada lengan jersi utama Kerteh FC.
“Pihak kami berasa yakin dengan kekuatan jenama Kerteh FC yang merupakan sebuah kelab yang sedang membangun serta mempunyai nilai komersial tambahan di pasaran apatah lagi ia adalah antara pasukan bola sepak komuniti yang sedang mencipta nama ketika ini.
“Sebelum ini pasaran beras Cap Buah-Buahan kami hanyalah tertumpu di daerah Setiu, Besut, Bachok dan Pasir Putih.
“Dengan kerjasama bersama Kerteh FC ini, ianya dapat membawa jenama beras kami ke pasaran yang lebih luas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Yacob Tahir Enterprise, Mohamad Adam Suffian Yacob.
Sementara itu, Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Hashim berkata, pemasaran melalui medium sukan bola sepak menjadi satu trend baharu kepada Industri Kecil dan Serdahana (IKS).
“Kami percaya hubungan keusahawanan dan perniagaan dalam industri sukan dapat membuka jalan yang lebih luas kepada mana-mana IKS dalam mengembangkan perniagaan mereka.
“Harapan kami, kerjasama ini dapat dipertingkatkan lagi pada masa hadapan kerana syarikat tersebut juga mengeluarkan produk barangan asas lain seperti minyak masak, telur dan garam,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan beras berkenaan bermula hari ini di kedai-kedai runcit terpilih sekitar Kerteh, Kemasik dan sebelum diperluaskan ke daerah Kemaman dan Dungun.
Untuk rekod syarikat Yacob Tahir Enterprise Sdn Bhd ini telah beroperasi sejak 1981 manakala Kerteh FC yang ditubuhkan pada 2018 beraksi dalam Liga M4 Malaysia dan merupakan juara berganda Liga Amatur Terengganu (TAL).