16 NOV: Kerajaan bercadang melakukan penambahbaikan dan meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) sebagai usaha berterusan untuk memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta melindungi pemberi maklumat secara lebih berkesan.
Tindakan itu perlu kerana statistik menunjukkan hanya sebahagian kecil daripada pemberi maklumat diberikan perlindungan Akta 711 dalam tempoh 2011 hingga sekarang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berdasarkan statistik seramai 73,545 individu menyalurkan pelbagai maklumat dan aduan kepada agensi penguat kuasa di Malaysia dari tahun 2011-2021.
“Bagaimanapun, dalam masa sama hanya 527 pemberi maklumat yang mendapat kemudahan di bawah Akta 711 sejak 2011 hingga sekarang.
“Ini menunjukkan terdapat kekurangan sama ada dalam pelaksanaan akta tersebut atau dalam peruntukan akta itu
sendiri atau dengan kata lain wujud kelemahan dari segi sistem perundangan yang diberikan oleh pihak United Nations Conventions Against Corruption (UNCAC),” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen hari ini.
Wan Junaidi berkata demikian ketika menjawab soalan dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta Perdana Menteri menyatakan secara terperinci cadangan mengkaji semula undang-undang berkaitan pemberi maklumat di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
Ahli Parlimen PH-Port Dicksons berkenaan juga ingin tahu sejauh mana keberkesanannya melindungi Pemberi Maklumat dalam kes-kes salah laku dan rasuah berprofil tinggi.
Berikutan itu, Wan Junaidi berkata beberapa sesi libat urus dengan pihak pemegang taruh telah diadakan termasuk sesi libat urus dengan pihak United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) dan Government Accountability Project (GAP).
Di samping itu, Wan Junaidi berkata pihaknya juga menubuhkan satu jawatankuasa kerja bagi menilai, mengkaji serta menetapkan parameter berdasarkan cadangan pindaan dan penambahbaikan yang telah diterima daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi penguatkuasa, agensi/ jabatan di negeri, syarikat swasta dan GLC serta CSO dan NGO.
Beliau berkata jawatankuasa berkenaan sudah mengenai pasti tujuh isu utama yang perlu ditambah baik bagi memastikan Akta 711 dapat dikuatkuasakan dengan lebih berkesan termasuk pindaan beberapa seksyen.
Antara alternatif untuk memperkasakan Akta 711 adalah dengan memperkenalkan ‘buffer’ bagi memastikan identiti pemberi maklumat tidak didedahkan kepada pegawai agensi disiasat pihak berkuasa.
“Sebagai contoh di United Kingdom mereka menggunakan Pengarah sebagai tempat orang ramai menyalurkan maklumat berhubung ‘buffer’ dan memberikan maklumat berkenaan kepada agensi berkenaan untuk tindakan lanjut.
“Begitu juga di Australia mereka menggunakan sistem ombusmen. Jadi sekarang kita ada tiga alternatif pertama melalui pengarah, ombusmen atau perkasakan atau menstrukturkan semula Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) menjadi buffer kepada maklumat supaya tidak diketahui oleh agensi dilaporkan berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata hasil kajian dan parameter bagi cadangan penambahbaikan Akta 711 dijadual akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Disember 2021.
“Justeru, kerajaan amat mengalu-alukan sebarang cadangan dan maklum balas daripada pelbagai pihak berhubung Akta 711.
“Ini bagi memastikan cadangan pindaan Akta 711 ini dapat menambahbaik pelaksanaan perlindungan pemberi maklumat dan seterusnya mengekang kes salah laku dan rasuah terutamanya bagi kes-kes berprofil tinggi,” katanya.
Terdahulu, Wan Junaidi berkata Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] digubal untuk memerangi rasuah dan salah laku bagi menggalakkan pemberi maklumat memberikan pendedahan kelakuan tidak wajar; melindungi orang yang membuat pendedahan daripada tindakan memudaratkan dan memastikan supaya pendedahan disiasat dan diurus dengan sewajarnya.
Wan Junaidi berkata perkara itu selaras dengan inisiatif diterajui kerajaan dengan menandatangani UNCAC pada 20 September 2008 di mana Malaysia sebagai ahli dalam konvensyen berkenaan mempunyai tanggungjawab dan komitmen untuk memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat dan pendedahan berkenaan hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasa seperti tertera dalam Artikel 33 dan 37 UNCAC.
Beliau berkata sehingga kini, sebanyak tujuh (7) agensi penguatkuasa telah mengguna pakai Akta 711 ini iaitu Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).