17 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang terkorban dalam insiden pesawat Hawk 108 di Butterworth, Pulau Pinang malam tadi.
Dalam catatan di Facebooknya, Ismail Sabri mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat ALLAH SWT dan ditempatkan bersama golongan yang beriman.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Alfatihah,” menurut catatan itu.
Allahyarham merupakan pemenang Green Endorsement menerusi anugerah inovasi TUDM baru-baru ini.
Berdasarkan laporan di portal rasmi TUDM, Kapten Mohamad Affendi, 31, dikurniakan anugerah itu sebagai pengiktirafan setelah berjaya melakukan tindakan yang membolehkan pesawat berhenti dengan selamat tanpa kemudaratan.
Dalam kejadian itu, seorang lagi juruterbang, Mejar Mohd Fareez Omar cedera dan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Beliau dilaporkan telah sedarkan diri dan berada dalam keadaan stabil namun masih di bawah pemantauan pihak hospital.
Difahamkan insiden malang itu berlaku ketika mereka melakukan latihan penerbangan malam.