19 NOV: Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yakin Barisan Nasional (BN) dapat menang lebih daripada 16 kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan membentuk kerajaan negeri yang stabil dan terurus.
Justeru, beliau berharap pengundi di negeri Melaka yang akan turun mengundi esok dapat memilih BN iaitu sebuah parti yang stabil dan mampu membantu ekonomi rakyat di negeri itu.
“Saya akui Barisan Nasional (BN) tidak terlepas daripada kelemahan, tetapi memilih parti yang menjanjikan bulan dan bintang seperti Pakatan Harapan (PH) dan parti yang masih baru Pakatan Nasional (PN) yang banyak kaki lompat, akan merugikan rakyat.
“Lihatlah apa terjadi selepas PH perintah…Apa jadi dengan ekonomi negara…Apa rakyat dapat?
“Adakah aset-aset negara bertambah…dividen tabung-tabung simpanan menaik…kesejahteraan hidup rakyat bertambah baik?
“Negara lebih stabil dan terancang…pasaran saham lebih baik…pelaburan asing menaik dan janji-janji manifesto ditepati?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Muqharabbin berharap rakyat Melaka dapat menilai mana yang sebaiknya dan pilihlah BN semula.
Tambanya, banyak yang telah dibuat oleh kepimpinan parti dan membuat perubahan ke arah kebaikan rakyat dan dalaman parti.
Selain itu, katanya, BN turut mengetengahkan ramai calon muda dan berwibawa.
“Manifesto-manifesto BN juga lebih teratur dan mampu ditunaikan. Calon BN lebih fokus dan banyak membawa isu kawasan untuk dibangunkan dan mudah difahami dan diterima oleh rakyat.
“Rakyat buanglah katak-katak politik yang melompat sana sini dan ajarlah mereka yang telah menipu rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu,” katanya.