20 NOV: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa berusaha dan proaktif mempertingkatkan produktiviti industri padi serta beras negara dengan memperkenalkan teknologi terkini.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, tanggungjawab itu tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan, pesawah dan petani semata-mata.
Beliau berkata, usaha bersama rentas kementerian dan agensi kerajaan seperti sering ditekankan iaitu keterangkuman dan kebersamaan dalam teras utama konsep Keluarga Malaysia, sangat diperlukan.
“Justeru, saya menyeru lebih ramai penyelidik tempatan pelbagai bidang kepakaran turut sama mengetengahkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menggembleng tenaga membangunkan inovasi agromakanan ke arah memacu Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, sekali gus meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia,” katanya pada Majlis Pelancaran Benih Padi IS21, hari ini seperti dilaporkan Berita Harian.
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovas, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Benih Padi IS21 itu dinamakan sempena nama Perdana Menteri iaitu IS bagi singkatan nama Ismail Sabri dan angka 21 mewakili tahun 2021.
Ismail Sabri berkata, varieti baharu padi menjadi pelengkap dalam usaha meningkatkan sekuriti makanan negara, selaras hasrat kerajaan meningkatkan tahap sara diri padi negara.
Beliau berkata, langkah itu juga mampu mengurangkan kebergantungan kepada beras import pada masa depan.
Katanya, kerajaan juga sentiasa bersiap siaga mendepani cabaran dunia dan tampil dengan pelbagai inisiatif berpaksikan rakyat, termasuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu pelan pembangunan menyeluruh untuk manfaat Keluarga Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan.
“Sasaran utama kerajaan adalah ke arah negara berteknologi dan berpendapatan tinggi dengan program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) dikenal pasti sebagai satu daripada teras utama RMK-12.
“Bagi memastikan sumber makanan terjamin, selamat dan mencukupi, kerajaan sentiasa berusaha ke arah mencari kaedah terbaik yang mampu meningkatkan penghasilan padi serta beras.
“Tidak dilupakan, kumpulan yang berperanan penting dalam produktiviti industri padi dan beras ini adalah pesawah serta petani yang arif soal isu dan cabaran membabitkan industri padi dan beras negara.
“Berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), penduduk dunia dijangka meningkat kepada 9.7 bilion pada tahun 2050,” katanya.
Ismail Sabri berkata, Pertubuhan Makanan dan Pertanian turut menganggarkan pengeluaran pertanian serta makanan bakal menunjukkan peningkatan kira-kira 70 peratus bagi memenuhi permintaan makanan dan pemakanan masyarakat global menjelang tahun 2050.
Beliau berkata, perubahan iklim dijangka menyumbang kepada masalah kekurangan bekalan makanan dunia pada masa depan.
“Malah mutakhir ini, kesan perubahan iklim mula dirasai dengan pendapatan golongan yang berada dalam sektor pertanian terjejas akibat pengurangan hasil.
“Dalam konteks ini, peranan MOSTI amat penting dalam merangka strategi R&D melalui pembangunan dan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kalangan Keluarga Malaysia,” katanya.