20 NOV: Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti mudah selepas memperoleh 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini sekali gus mendapat mandat untuk membentuk kerajaan negeri baharu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata proses pengundi bagi PRN Melaka ke-15 berjalan dengan baik dan lancar.
“Bagi keseluruhan pengundian sehingga jam 9.42 malam tadi, BN telah memenangi sejumlah 15 dari 28 kerusi yang diperuntukkan dan dengan ini telah berjaya memperoleh suatu majoriti melebihi 50 daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan,” katanya ketika membaca pengisytiharan keputusan PRN Melaka sebentar tadi.
Berikutan itu, difahamkan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Lundu akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka, sekali lagi dalam masa terdekat
Difahamkan majlis angkat sumpah Ketua Menteri berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam di Istana Melaka pada pukul 1 petang esok.
Sementara itu, keputusan tidak rasmi disiarkan dalam portal rasmi SPR iaitu MyUndi menunjukkan setakat ini BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN yang ditandingi manakala Perikatan Nasional (PN) dua kerusi dan Pakatan Harapan (PH) lima kerusi.
Ketika ini proses pengiraan undi masih berjalan dan keputusan penuh akan diumumkan pada bila-bila masa.
Maklumat terkini boleh layari myundi.com.my.