22 NOV: UMNO berpendapat PRU-15 wajar diadakan dalam masa terdekat berikutan momentum Barisan Nasional (BN) yang baik ketika ini selepas meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Justeru, parti itu mahu berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi menyatakan pandangan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), disegerakan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO akan membincangkan perkara itu bersama pucuk pimpinan parti sebelum disampaikan kepada Perdana Menteri.
“Momentum sangat baik ketika ini, kalau lambat takut orang lupa. Kemenangan dua pertiga yang diperoleh BN ketika PRN Melaka pada Sabtu lalu memberi gambaran sokongan padu diterima parti.
“Berhubung PRU-15, ia akan dibincangkan selanjutnya dengan pucuk pimpinan parti sebelum disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengenai hasrat UMNO,” katanya kepada pemberita di Pontian hari ini.
Ahad lalu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata PRU-15 wajar diadakan dalam masa terdekat dengan mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada BN.
Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, kemenangan BN pada PRN Melaka disebabkan kombinasi pelbagai faktor.
Beliau berkata, antaranya jentera parti, calon muka baharu, selain faktor bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membantu kempen UMNO dan BN.
“Pada mulanya kita ramalkan dapat menang 18 atau 20 kerusi, tetapi lebih manis capai kemenangan dua pertiga. Ini menunjukkan angin perubahan rakyat dan pengundi yang mahukan kerajaan BN di Melaka,” katanya.