23 NOV: Masyarakat Malaysia menyambut baik tindakan kerajaan menubuhkan Civil Defence Emergency Response Team (CDERT).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata pasukan CDERT mula ditubuhkan sejak tahun 1996 lagi sehingga termaktub menjadi salah satu program dan pasukan rasmi dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada 16 Mac 2006.
Beliau berkata punca kuasa penubuhan CDERT adalah mengikut peruntukan penubuhan APM dan anggota bantuan (auxiliary) sebagaimana di bawah seksyen 2A dan seksyen 4H Akta 221.
“Pelaksanaan penubuhan CDERT telah memfokuskan kepada penubuhan pasukan tindak balas kecemasan (ERT) di sektor awam, sektor korporat atau swasta, badan berkanun, badan bukan kerajaan sehingga ke peringkat komuniti setempat di seluruh negara.
“Penerimaan rakyat berkaitan penubuhan CDERT di semua peringkat pada masa ini amat menggalakkan,” katanya ketika menjawab soalan di sesi pertanyaan Menteri di Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut, Abd Latiff berkata sehingga kini terdapat 257 penubuhan pasukan yang aktif di seluruh negara dengan 132 daripadanya adalah daripada kategori CDERT Komuniti iaitu di kampung-kampung, taman perumahan dan sebagainya.
Manakala, selebihnya terdiri daripada pasukan yang ditubuhkan di agensi atau jabatan Kerajaan, badan berkanun, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Sehingga hari ini, selaras dengan Key Performance Indicator (KPI) 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, APM telah mengadakan sesi libat urus di lapangan dan telah berjaya mendapat persetujuan penubuhan di 44 lokaliti dengan kerjasama Pejabat Penyelaras Parlimen / Pejabat Daerah bagi penubuhan pasukan CDERT Komuniti (atau CDERT Keluarga Malaysia) di setiap parlimen,” katanya.
Beliau berkata bagi menyebarluaskan penubuhan CDERT Keluarga Malaysia ini, beliau menyeru Ahli Parlimen untuk bekerjasama dengan APM bagi penubuhan pasukan CDERT ini.
“Kita menyasarkan penubuhan di 222 buah parlimen pada tahun 2022. Dalam masa yang sama APM Daerah di lebih 150 Daerah sedang giat membuat pertemuan dengan Pegawai Daerah terutama di kawasan yang berisiko bencana (disaster prone area) bagi tujuan penubuhan CDERT untuk kesiapsiagaan komuniti setempat dalam mendepani bencana mahupun kecemasan.
“Sokongan daripada Ahli Parlimen dan para pemegang taruh setempat amatlah diharapkan ke arah menjadikan negara
mempunyai komuniti yang berdaya tahan (atau dengan izin) resilient terhadap sebarang kemungkinan bencana dan kecemasan yang berlaku,” katanya.