23 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan bahawa Bantuan Khas COVID-19 (BKC) Fasa 2 akan dikreditkan ke akaun penerimanya mulai Khamis ini.
Ismail Sabri berkata pembayaran kepada penerima terdiri daripada isi rumah, individu bujang dan warga emas yang tergolong dalam kategori miskin itu membabitkan peruntukan berjumlah RM300 juta.
“Ingin saya tegaskan kerajaan sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC ini mampu meringankan beban rakyat yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, kerajaan juga akan terus komited memastikan bantuan yang disediakan dapat disalurkan secara berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, bayaran seterusnya bagi Fasa 3 akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada bulan Disember ini yang membabitkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40.
Beliau berkata semakan status kelulusan BKC boleh dibuat melalui Portal BKC, iaitu https://bkc.hasil.gov.my.
“Untuk maklumat lanjut termasuk kriteria penerima dan jumlah bantuan yang bakal diterima, warga Keluarga Malaysia boleh merujuk Jadual 2 serta Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan.
BKC merupakan sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.
Pada 28 Jun 2021, kerajaan telah mengumumkan Pakej PEMULIH sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik COVID-19.