Pelantikan Duta Besar ke Indonesia hangatkan Parlimen
23 NOV: Kementerian Luar Negeri (KLN) tidak menafi atau mengesahkan pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang baharu.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaafar, berkata Wisma Putra tidak boleh mendedahkan mengenai status pelantikan Tajuddin selagi prosesnya belum selesai sepenuhnya.
Kamaruddin berkata proses pelantikan seseorang tokoh sebagai Duta Besar atau perwakilan Malaysia ke luar negara memerlukan proses yang panjang termasuk persetujuan negara terbabit, sebelum dianugerahkan watikah pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Selagi segala proses belum selesai kita tidak boleh memberikan sebarang maklumat untuk menghormati prinsip diplomasi diamalkan oleh semua negara di dunia.
“Ini adalah sebahagian daripada perkara tidak boleh diumumkan sehingga ianya sampai ke tahap terakhir. Tetapi jika Ahli Yang Berhormat nak buat kesimpulan dan analisis sendiri terpulanglah kerana kita tidak akan terbabit atau memberikan maklum balas rasmi,” katanya ketika menjawab celahan Ahli Parlimen ketika sesi penggulungan Bajet 2022 peringkat KLN di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan celahan Ahli Parlimen PH-Bayan Baru, Sim Tze Tzin, yang meminta penjelasan mengenai status sama ada Tajuddin sudah dilantik secara sah atau tidak sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia seperti tular di media baru-baru ini.
Ketika ditanya sama ada negeri Asia Selatan sanggup menerima pelantikan Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran sebagai Duta Khas Malaysia ke Asia-Selatan, Kamaruddin berkata perkara itu adalah terletak di bawah bidang kuasa budi bicara Perdana Menteri bukannya tanggungjawab Wisma Putra.
“Proses pelantikan Duta Khas atau Utusan Khas Perdana Menteri adalah berbeza dengan pelantikan Duta Malaysia ke luar negara,” katanya.
Kamaruddin berkata KLN juga tidak mempunyai maklumat mengenai jumlah bayaran, gaji atau elaun diterima oleh Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Selatan atau ke Asia Barat dan China kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Dalam pada itu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun, mengesahkan usul RUU Perbekalan 2022 bagi KLN diluluskan tanpa pindaan di peringkat jawatankuasa menerusi undian suara majoriti.
Kelulusan itu membolehkan peruntukan berjumlah RM760.3 juta digunakan oleh KLN untuk tujuan pembangunan dan operasi Wisma Putra pada tahun 2022.