23 NOV: Amazon dan Apple didenda 200 juta euro (RM944 juta) hari ini atas kesalahan berkaitan undang-undang persaingan.
Badan pemantau persaingan Itali mengarahkan Apple membayar 134.5 juta euro (RM634 juta) dan firma e-dagang Amazon 68.7 juta euro (RM324 juta) kerana melanggar undang-undang Kesatuan Eropah (EU) yang menyekat penjualan produk Apple dan Beats.
Menurut badan pemantau itu, melalui perjanjian pada 2018 antara dua syarikat Amerika Syarikat (AS), ia melarang penjualan semula sama ada secara rasmi atau tidak rasmi membabitkan produk Apple dan Beats daripada menggunakan Amazon.
Ia sekali gus hanya membenarkan penjualan produk itu di pasaran kepada Amazon dan pihak tertentu secara diskriminasi.
Katanya, ia bertujuan bagi menyekat jumlah bilangan peruncit dan mengehadkan jualan rentas sempadan.
Sejak itu, firma teknologi besar AS menghadapi pelbagai cabaran berhubung persaingan di Eropah dan mereka diawasi dengan teliti oleh pengawal selia di Washington.
Badan pemerhati itu berkata, siasatannya itu berjaya menarik perhatian pihak berkuasa persaingan kebangsaan di Jerman dan Sepanyol, yang juga sudah melancarkan prosedur yang sama.
Tindakan tegas terhadap firma Big Tech boleh menyebabkan perpecahan platform terbesar itu, di mana Eropah mendahului dengan undang-undang persaingan dan penggubal undang-undang AS mengintai langkah untuk memudahkan penguatkuasaan persaingan terbabit.
Pengkritik Big Tech di EU dan AS mahu Apple dan Google melonggarkan peraturan ketat pasaran aplikasi dalam talian mereka dengan memberikan lebih banyak persaingan dalam pasaran pengiklanan digital yang dikuasai oleh Google dan Facebook; dan akses yang lebih baik kepada platform e-dagang Amazon oleh penjual pihak ketiga.