23 NOV: Pilihan Raya Umum (PRU)-15 tidak perlu diadakan awal bagi memberi peluang kepada pengundi berumur 18 tahun (Undi18) terlibat sama.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Undi18 meliputi jumlah lebih besar sudah pasti akan memberi impak kepada politik negara sekali gus mereka perlu diraikan sebagai pengundi pertama pada PRU kali ini.
“Kita perlu memberi peluang kepada mereka yang berumur 18 tahun untuk mengundi. Ini bermakna kalau buat pada tahun depan, peluang boleh diberi kepada kepada warga baharu dalam dunia pengundian.
“Peluang mengundi akan dibuka tahun hadapan. Jadi, ia tidak wajar untuk diadakan segera,” katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.
Ahli Parlimen Arau itu turut mengingatkan semua pihak bahawa mereka perlu memikirkan bebanan rakyat ketika ini yang mengalami kesusahan akibat COVID-19 sekali gus pilihan raya tidak wajar diadakan segera.
Jadi, katanya, inilah masanya untuk kerajaan bela rakyat dengan memberi tumpuan khusus menyelesaikan masalah yang timbul daripada kesan COVID-19.
Saranan PRU-15 disegerakan muncul sebaik sebaik sahaja BN mencapai kemenangan selesa dalam PRN Melaka Sabtu lalu.