24 NOV: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan memperkenalkan had tempoh 12 tahun mandatori bagi jawatan pengarah bebas dalam Keperluan Penyenaraian pada tahun depan.
Pengawal selia dalam laporan Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat 2021-2023 (Keutamaan Strategik CG), berkata pengenalan had mandatori itu dijangka dapat meningkatkan ketelusan kedudukan Lembaga Pengarah termasuk membabitkan dasar syarikat.
“Had mandatori ini dijangka meningkatkan ‘keremajaan’ Lembaga Pengarah dan terus segar serta dapat menyediakan idea baharu kepada syarikat,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Setakat 31 Oktober lalu, 46 peratus daripada syarikat tersenarai memiliki sekurang-kurangnya seorang pengarah bebas yang telah lama berkhidmat dalam Lembaga Pengarah membabitkan tempoh sembilan tahun atau lebih.
Daripada jumlah itu sejumlah 500 jawatan Lembaga Pengarah dipegang oleh pengarah bebas yang sama lebih daripada 12 tahun dengan 89 daripadanya berkhidmat lebih 20 tahun.
Dalam beberapa Lembaga Pengarah, cabaran lebih buruk apabila ia memiliki dua atau tiga pengarah bebas dengan tempoh perkhidmatan sehingga 30 tahun.
Dalam laporan itu, SC berkata, ia telah mengambil langkah progresif untuk menangani isu berkenaan termasuk pengenalan proses pengundian dua peringkat pada 2017.
Menerusi langkah itu, katanya, sejumlah 164 syarikat tersenarai telah menggunakan proses dua peringkat dalam tempoh setahun pertama ia diperkenalkan.
“Bagaimanapun, hasil semakan SC, 98 peratus daripada resolusi dua peringkat telah diluluskan sekali gus menimbulkan kebimbangan pemegang saham mungkin tidak menghargai sepenuhnya isu berkaitan dengan tempoh panjang dan keperluan meremajakan Lembaga Pengarah,” katanya.
Sementara itu SC kekal dengan pendiriannya untuk tidak menggalakkan ahli politik menyertai Lembaga Pengarah syarikat tersenarai.
Katanya, pelantikan ahli politik aktif perlu dielakkan bagi memastikan syarikat senarai awam berdaya tahan, inovatif dan lebih kukuh dalam melaksanakan strategi serta kaedah baharu untuk mendepani perubahan pasaran.
“Kami kekal dengan pendirian dalam memberi penekanan kepada isu ini. Kami tidak menggalakkan syarikat senaraian awam melantik ahli politik dalam Lembaga Pengarah. Ini adalah pendirian SC,” katanya.