25 NOV: Sebanyak RM28 juta akan diperuntukan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi menjayakan Pelan Strategik Pendigitalan (PSPKPLB) 2021-2025 dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pelan strategik berkenaan merangkumi visi, hala tuju dan rangka pelaksanaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam usaha KPLB memastikan mandat kesejahteraan masyarakat luar bandar tercapai.
Beliau berkata pelaksanaan teras pelan strategik berkenaan memperlihatkan bahawa peranan KPLB dalam pembangunan luar bandar tidak hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur, pemerkasaan ekonomi, keusahawanan dan pembangunan modal insan semata-mata.
“Malah, peranan KPLB juga menyokong Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 sebagai pemacu agenda Kerajaan Digital yang mampan ke arah membentuk masyarakat digital,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi KPLB 2021 dan Pelancaran Pelan Strategik Pendigitalan KPLB 2021-2025 di Putrajaya semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata pelan berkenaan juga menggariskan empat teras utama iaitu Pemantapan Perkhidmatan Digital Bersepadu dan Inklusif; Pengukuhan Infrastruktur Digital Berasaskan Teknologi Terkini dan Selamat; Pemerkasaan Pembudayaan dan Profesionalisme ICT serta Tadbir Urus ICT yang Tuntas Dan Mampan.
Tambah, Mahdzir, teras pelan strategik berkenaan disokong oleh 14 strategi dan 78 program pendigitalan yang akan disusuli dengan pemantauan berterusan agar sentiasa selari dengan aspirasi kementerian dan kerajaan.
Beliau berkata, pelan berkenaan juga akan memfokuskan untuk projek pembangunan dan penambahbaikan di 191 Pusat Komuniti Desa (PKD) di seluruh negara.
“Selain untuk menterjemahkan aspirasi Kerajaan melalui Pelan Strategik Pendigitalan, ia juga merupakan komitmen Kementerian terhadap usaha menggariskan strategi pelaksanaan transformasi digital bagi menjayakan agenda “Luar Bandar Sejahtera,” katanya.
Terdahulu, Mahdzir berkata KPLB akan terus menyokong pembudayaan inovasi dan penggunaan teknologi demi memastikan kelangsungan dalam perkhidmatan awam.
“Penganjuran Hari Inovasi KPLB 2021, adalah salah satu pengiktirafan dan penghargaan kepada kakitangan yang berjaya menghasilkan inovasi yang signifikan dan memberi impak yang besar kepada pembangunan organisasi demi menghasilkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Pada tahun ini enam kategori anugerah kualiti dan inovasi dipertandingkan di peringkat KPLB dan agensinya.
Antaranya Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam, Anugerah Pengurusan Aset dan Stor, Anugerah Pengurusan Kewangan; Anugerah Pengurusan Tadbir Urus Bahagian (Keselamatan Perlindungan), Anugerah Pengurusan PKD Zon Tengah (Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka) dan Anugerah Keceriaan Kemerdekaan Ibu Pejabat KPLB.
Kategori anugerah dipertandingkan bagi mewujudkan persaingan antara agensi selain berkongsi amalan baik dalam perkhidmatan.