26 NOV: Mulai Isnin ini, murid sekolah rendah diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 mingguan secara bergilir.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ujian terbabit adalah sebahagian daripada Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan bagi mengelakkan wujudnya kluster pendidikan.
“Antara perkara daripada strategi ini adalah keperluan murid sekolah rendah di bawah usia kelayakan untuk menerima vaksin, perlu menjalani ujian saringan secara mingguan.
“Ujian ini perlu dilaksanakan ke atas sekurang-kurangnya 10 peratus sampel daripada populasi murid di sesebuah sekolah,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut berpandangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak sesuai diadakan pada masa ini.
Jelasnya, situasi semasa menunjukkan penularan kes masih meningkat, kemasukan kes ke hospital bertambah selain varian baharu B.1.1.529.
“Jika PRU dijalankan pada masa ini, ia adalah tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya.