26 NOV: Kerajaan Filipina akan membuka kembali sektor pelancongan kepada pelancong luar negara yang lengkap vaksinasi mulai minggu depan.
Jurucakap kepada Presiden Filipina, Karlo Nograles, memberitahu wartawan, penurunan jangkitan baharu COVID-19 dan peningkatan liputan vaksin membuatkan negara itu memutuskan untuk membuka kembali sempadan negara berkuat kuasa 1 Disember ini.
Sebelum ini, Filipina menutup sempadannya lebih 20 bulan bagi mengelakkan penularan COVID-19.
Pelancong yang lengkap vaksinasi dari 157 negara tidak akan dikuarantin jika hasil ujian mereka didapati negatif sebelum penerbangan dan sekiranya mereka tidak mengunjungi negara yang mempunyai kadar jangkitan tinggi dalam tempoh dua minggu sebelum itu.
Mengikut Nograles, senarai negara yang diluluskan itu tidak termasuk China iaitu antara pasaran pelancong tertinggi di negara itu, selain Taiwan dan India.
Bagaimanapun, 10 sumber pelancongan tertinggi bagi Manila termasuk Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun, Australia, Kanada, Britain dan Jerman dibenarkan masuk ke negara itu.
Senarai itu membenarkan penyambungan semula perjalanan tanpa visa untuk lawatan singkat di bawah 30 hari kepada warga negara dari 157 negara yang telah menikmati kemasukan tanpa permit ke Filipina sebelum tercetusnya wabak itu.
Menurut data rasmi, pelancongan adalah pemacu utama ekonomi bagi negara Asia Tenggara itu, menyumbang hampir 13 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) pada 2019, apabila lebih lapan juta orang melawat, negara itu.
Ia merosot kepada 5.4 peratus tahun pada tahun lalu susulan ketibaan pelancong merosot sebanyak 82 peratus kepada 1.48 juta orang.
Kerajaan Filipina melonggarkan sekatan dalam tempoh beberapa minggu lalu susulan kadar jangkitan harian mencatatkan penurunan pada paras terendah sejak awal tahun, sementara kadar vaksinasi di seluruh merekodkan peningkatan.
Filipina merekodkan 2.8 juta jangkitan sejak bermulanya pandemik dengan 48,000 kematian.
Pada masa ini, sekitar satu pertiga daripada 110 juta populasi penduduknya telah melengkapkan vaksinasi.