26 NOV: Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik dijangka menyertai PKR dalam satu majlis yang turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Simpang Renggam esok.
Malaysiakini melaporkan, pada acara itu Maszlee akan menyerahkan 500 borang keahlian baharu kepada Anwar dan sebanyak 20 ranting baharu PKR akan ditubuhkan di Simpang Renggam.
Sebelum itu, terdapat poster yang memaparkan Anwar dan Maszlee yang memakai baju lambang PKR akan menyertai satu program di Simpang Renggam esok.
Maszlee sebelum ini merupakan salah seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dipecat pada Mei tahun lalu.
Dia menjadi Menteri Pendidikan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum diminta letak jawatan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed pada Januari 2020.