Dunia ratapi pemergian pereka fesyen LV
29 NOV: Kematian pereka fesyen terkemuka Amerika Syarikat (AS), Virgil Abloh pada usia 41 tahun akibat kanser semalam mengejutkan dunia yang merapati pemergiannya.
Pengarah artistik koleksi pakaian lelaki jenama mewah Louis Vuitton itu yang dilantik sejak 2018 merupakan warga kulit hitam AS pertama dilantik firma fesyen Perancis itu bagi menjawat jawatan tersebut.
Beliau seorang yang berwawasan dan berperikemanusiaan telah menghasilkan pakaian jalanan seperti hoodie dan kasut ke pentas peragaan.
“Kami semua terkejut dengan berita sedih ini. Virgil bukan hanya seorang pereka genius, tetapi seorang yang berwawasan, baik dan bijaksana,” kata Ketua Eksekutif LVMH, Bernard Arnault dalam satu kenyataan.
“Keluarga LVMH bersama saya dalam detik kesedihan ini dan kami mengingati insan tersayang selepas kematian seperti suami, ayah, abang dan rakan-rakan,” tambahnya dalam kenyataan yang dimua tnaik di Twitter LVMH.
Menurut syarikat fesyen itu, Abloh bertarung dengan kanser secara bersendirian selama beberapa tahun.
Ibu bapanya berhijrah ke AS dari Ghana.
LVMH pada tahun ini mengumumkan pihaknya mengambil majoriti saham pakaian jalanan mewah jenama Off-White yang diasaskan Abloh.
LVMH menguasai 60 peratus, manakala Abloh kekal memegang 40 peratus.
Abloh prihatin terhadap isu alam sekitar dan sosial ketika bekerja dengan Louis Vuitton, menerusi mesej antiperkauman dan antihomofobio sewaktu persembahan fesyen di Paris pada Januari lalu.
Ketika masih hidup, Abloh meluahkan hasratnya apabila beliau merancang untuk menggunakan kerjasama dengan LVMH bagi mengembangkan lagi peluang dalam kalangan pelbagai individu serta memperluas kesaksamaan serta inklusiviti dalam industri terbabit.
Antara yang berkongsi kesedihan adalah Kim Jones yang juga pengarah pakaian lelaki Dior.
“Sedih sekali mengetahui kematian Virgil, seorang yang amat baik pernah anda jumpa,” katanya.
Pesaing dari syarikat fesyen Itali, Gucci menghargai Abloh yang memberi inspirasi kepada semua pereka dan individu.