29 NOV: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran varian COVID-19 baharu, Omicron berisiko sangat tinggi di seluruh dunia dan varian yang sangat berbeza.
Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan strain COVID-19 yang pertama kali ditemui di Afrika Selatan itu dikesan mempunyai jumlah mutasi yang tinggi.
“Membimbangkan dan mungkin kalis imunisasi selain mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi.
“Kemungkinan potensi penyebaran Omicron pada peringkat global adalah tinggi, namun sehingga kini, tiada kematian dikaitkan dengan varian Omicron dilaporkan,” menurut nota teknikal dikeluarkan WHO.
Dalam pada itu, doktor memberi amaran varian baharu COVID-19, Omicron bahawa simptom yang dihadapi pesakit adalah luar biasa, tetapi sederhana.
Dr Angelique Coetzee berkata, beliau mula-mula dimaklumkan mengenai kemungkinan ada varian baharu apabila pesakit yang dirawat di sebuah klinik swasta di Pretoria, mempunyai gejala COVID-19 yang tidak masuk akal.
Mirror.co melaporkan, mereka termasuk golongan muda dari pelbagai latar belakang yang mengalami keletihan teruk, dengan seorang kanak-kanak berusia enam tahun mempunyai kadar nadi yang tinggi.
Tiada seorang pun daripada mereka kehilangan deria rasa atau bau, yang kedua-duanya banyak dikaitkan dengan gejala COVID-19 ‘tradisional’.
“Simptom mereka amat berbeza dan sangat ringan daripada yang pernah saya rawat sebelum ini, kata Dr Coetzee, pegawai perubatan mempunyai pengalaman selama 33 tahun yang juga Pengerusi Persatuan Perubatan Afrika Selatan.
Pada 18 November, apabila empat sekeluarga yang disahkan positif COVID-19 mengalami keletihan teruk, beliau memaklumkan Jawatankuasa Penasihat Vaksin negara itu.
Katanya, secara keseluruhannya, kira-kira 24 pesakit yang disahkan positif COVID-19 dengan simptom Ommicron yang sedang menular menyebabkan banyak negara melakukan sekatan perjalanan.
Kebanyakan mereka lelaki sihat, tiba-tiba ‘merasa sangat letih’ dan kira-kira separuh daripada mereka tidak mengambil vaksin.