30 NOV: Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat 4,068 laman pornografi dari tahun 2018 hingga 30 September lalu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah itu diambil bagi membendung adegan seksual dan kandungan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) daripada dilayari rakyat di negara ini.
Menurut beliau, selain penyekatan akses kepada laman web terlibat, pihaknya turut melakukan pendakwaan dan tindakan undang-undang.
“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan kesalahan bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain bagi membuat, mewujudkan, meminta-minta; dan memulakan penghantaran kandungan yang lucah, sumbang, palsu, mengancam, dan jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.
“Jika disabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang minta kementeriannya menyatakan langkah membendung adegan seksual dan kandungan berkaitan LGBT dalam program yang disiarkan menerusi perkhidmatan penstriman atas talian seperti Netflix.
Mengulas mengenai penstriman atas talian seperti Netflix, penarafan filem dan rancangan televisyen yang dilakukan oleh syarikat penyedia perkhidmatan penstriman video luar negara seperti Netflix adalah dijalankan secara kendiri dan ditetapkan oleh organisasi standard yang biasanya berada di bawah setiap peringkat kematangan Netflix berbeza mengikut mengikut wilayah, negara dan rantau.
“Selain itu, Netflix turut menyediakan khidmat kawalan ibu bapa (parental control) bagi mengupayakan golongan ibu-bapa mahupun penjaga dalam mengawal selia penggunaan platform tersebut oleh anak-anak mereka.
“Ia berfungsi di mana sesetengah kandungan seperti filem yang ditarafkan sebagai ‘Remaja’ dan ‘Dewasa’ dapat disekat daripada ditonton, dengan kata laluan yang ditetapkan oleh ibu bapa dan penjaga,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Wan Hassan berkaitan keperluan Kementerian untuk mengurangkan jumlah penstriman luar negara di Malaysia sebagai satu langkah kawalan terhadap isu berkenaan, Annuar berkata, ketika ini undang-undang negara hanya tertakluk kepada bahan-bahan yang dilesenkan di dalam negara.
“Ia satu cabaran bagi negara kita terutama bagi penstriman dari luar negara. Kita perlu mencari jalan yang bersesuaian, buat masa ini apa yang boleh dilakukan adalah untuk mengadakan pelan-pelan atau tindakan yang bersifat advokasi.
“Sesetengahnya program memang tidak dinafikan bercanggah dengan nilai-nilai budaya dan sensiviti negara kita yang lazimnya melanggar akta pelesenan tapi undang-undang kita hanya tertakluk kepada yang dilesenkan di dalam negara kita.
“Jadi, bagi yang disiarkan secara bebas melalui kemudahan internet yang berlaku secara global kita belum mempunyai satu mekanisme dan penguatkuasaan undang-undang tidak dapat kita lakukan bagi platform yang beroperasi di luar negara,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Annuar turut memberitahu, sejumlah 407 laman berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak telah disekat melalui kerjasama antara SKMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Interpol sejak tahun tahun 2015 hingga 30 September lalu.
“Bagi isu kesalahan pornografi dalam talian yang melibatkan kanak-kanak, pihak SKMM sentiasa menjalinkan kerjasama baik dengan PDRM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Interpol di peringkat antarabangsa dalam operasi penguatkuasaan secara bersama termasuklah dari segi penguatkuasaan dan tindakan sekatan terhadap kandungan atau laman-laman sesawang yang berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak,” katanya.