1 DIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengarahkan bekalan ayam import dan ikan sejuk beku dilambakkan dalam pasaran sebagai langkah segera menstabilkan harga.
Perdana Menteri berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) juga akan mengimport 200 hingga 300 kontena ayam sejuk beku seawal minggu depan.
“Kita banjirkan pasaran dengan ayam dari luar yang harganya lebih murah berbanding harga ayam tempatan supaya pengguna ada pilihan.
“Ikan juga semakin naik harga kerana musim tengkujuh sudah bermula tetapi kita boleh melambakkan pasaran dengan stok ikan sejuk beku di bawah program Q’Fish yang tujuannya untuk dikeluarkan pada musim tengkujuh.
“Saya juga minta Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee kalau boleh kita hentikan eksport ikan ke luar negara (untuk sementara waktu) kerana yang pentingnya adalah kebajikan rakyat yang dibebankan dengan kenaikan harga,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di MyFarm Outlet Kasih Putrajaya, hari ini.
Perdana Menteri yang diiringi Ronald meluangkan masa kira-kira 40 minit untuk membuat tinjauan harga di pusat jualan yang merupakan inisiatif Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Mengulas lanjut, Perdana Menteri, berkata negara sumber bekalan ayam import itu akan diputuskan oleh MAFI kerana terdapat banyak pilihan sama ada dari China atau Thailand.
Bagi bekalan ikan pula, katanya stok ikan sejuk beku di bawah program Q’Fish kendalian Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) akan memasuki pasaran, manakala pengeksportan ikan dihentikan buat sementara waktu.
Menjelaskan mengenai larangan pengeksportan ikan, beliau berkata ia mungkin bertentangan dengan etika kerana pembekal dan pembeli telah membuat perjanjian, namun tindakan keras terpaksa dibuat demi kebajikan rakyat.
Katanya, larangan sementara itu juga pernah dibuat sebelum ini pada musim tengkujuh untuk mengelakkan bekalan dalam negara tidak mencukupi.
Mengenai tinjauan harga bahan basah di MyFarm Outlet Kasih Putrajaya, Perdana Menteri mengakui kenaikan harga berlaku.
Katanya, harga ayam umpamanya didapati meningkat sehingga RM9.50 ke RM9.80 sekilogram dan sangat jarang berlaku walaupun sebelum ini ia pernah mencecah lebih RM10 sekilogram.
“Kebiasaannya harga ayam RM7 ke RM8 sekilogram, kenaikannya tinggi. Pelbagai alasan diberikan oleh penternak dari segi kenaikan harga makanan ayam dan sebagainya, ada pelbagai isu dibangkitkan,” jelasnya.