1 DIS : Harga runcit petrol RON97 turun sebanyak 3 sen seliter daripada RM3.05 seliter kepada RM3.02 seliter hari ini, manakala RON95 dan diesel kekal RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) berkata, harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
Harga runcit produk petroleum itu berkuatkuasa bagi tempoh 2 sehingga 8 Disember 2021.
Kata MOF, bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, walaupun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk meningkat melebihi paras harga siling yang ditetapkan.
Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.