1 DIS: Vaksinasi Imunisasi lengkap telah dapat mengurangkan risiko mendapat jangkitan COVID-19 sebanyak 9.5 kali dan mengurangkan risiko kematian sebanyak 18 kali ganda berbanding mereka yang tidak mendapat vaksin.
Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ia berdasarkan hasil kajian keberkesanan pemberian vaksin itu yang dilakukan oleh Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bersama Intitut Penyelidikan Klinikal di bawah Institut Kesihatan Negara dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) yang dijalankan dari 1 April 12 September lalu melibatkan 1.2 juta penerima vaksin.
“Daripada hasil kajian ini, didapati keberkesanan vaksin secara keseluruhan dalam mengurangkan risiko jangkitan ialah 88 peratus, mengurangkan risiko bergejala 86%, mengurangkan kemasukan ke ICU 83%, dan mengurangkan risiko kematian 88%.
“Secara keseluruhan vaksin yang diberikan adalah berkesan dalam mencegah dan mengurangkan jangkitan COVID-19 termasuk jangkitan bergejala, jangkitan serius dan kematian dalam kalangan penyakit COVID-19,” katanya dalam jawaban lisan di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BERSATU-Sabak Bernam) berkaitan kejayaan PICK dan pencapaian imuniti kelompok di kalangan warga dewasa di negara ini mengikut negeri selain keperluan dan kepentingan untuk mengambil suntikan vaksin penggalak.
Mengulas lanjut, Aaron Ago berkata, vaksinasi lengkap juga berkesan dalam mengurangkan beban dalam sistem kesihatan negara.
Menjelaskan berkaitan dos penggalak, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah memulakan dos penggalak pada 13 OKtober lalu kerana imuniti selepas menerima dos lengkap dapat dikekalkan untuk tempoh maksimum khususnya terhadap varian Delta.
“Inisiatif ini juga digalakkan untuk meningkatkan imuniti individu terutamanya dalam kalangan berisiko tinggi.
“Ia diberikan kepada individu dewasa berumur 18 tahun ke atas, rentan berisiko tinggi, mengikut umur, petugas barisan hadapan, petugas dan penghuni pusat jagaan kesihatan dan mereka yang perlu ke luar negara.
“Sehingga 30 November lalu, sebanyak 2.5 juta atau 10.8 peratus populasi dewasa telah menerima dos penggalak dengan Sarawak terbanyak iaitu 64,885 dos.