3 DIS: Seramai 150 pelajar tingkatan lima Sekolah Seri Puteri (SSP) Cyberjaya dipindahkan ke Institut Aminuddin Baki (IAB), Bandar Enstek, malam tadi.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata kesemua mereka merupakan kontak rapat kepada para pelajar sekolah berkenaan yang positif COVID-19.
“Sebentar tadi (malam tadi) saya ke IAB di Bandar Enstek, Negeri Sembilan bagi meninjau persediaan pusat kuarantin ini menerima kemasukan murid yang menjadi kontak rapat kes positif COVID-19 di SSP.
“Insya-Allah murid lain juga akan terus dipantau di sekolah dan sebarang perkembangan lanjut kita akan maklumkan kepada ibu bapa secepat mungkin, Alhamdulillah di sini (IAB) disediakan dengan baik dan selesa bagi memastikan anak-anak yang dikuarantin berada dalam keadaan kondusif,” katanya menerusi klip video yang dimuat naik ke Facebooknya malam tadi.
Jelasnya lagi, tindakan itu bagi memastikan pemantauan dapat dilakukan dengan lebih dekat oleh pasukan perubatan dalam sebuah pusat kuarantin dengan setiap bilik menempatkan dua pelajar.
Sebelum itu, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Sha’ari Ngadiman berkata kes positif COVID-19 di SSP adalah sebanyak 139 kes melibatkan 114 pelajar, 15 guru dan 10 petugas.
Kesemua mereka dalam keadaan stabil serta berada dalam kategori 1 dan kategori 2A (bergejala tetapi berisiko rendah).