3 DIS : Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pelbagai langkah baharu dalam usaha untuk mengekang penularan varian Omicron, selepas dua kes membabitkan varian tersebut dilaporkan di Amerika Syarikat.
Presiden Joe Biden semalam mengumumkan pelan baharu itu yang merupakan gabungan daripada nasihat-nasihat yang diutarakan sebelum ini dan ia tidak melibatkan sekatan pergerakan, tetapi liputan vaksinasi dan suntikan dos penggalak yang lebih meluas dan ujian saringan dan banyak lagi.
Langkah itu dilakukan menurut Biden adalah untuk membolehkan sekolah dan perniagaan kekal dibuka sambil memastikan rakyat Amerika selamat.
Tindakan baharu itu termasuk meningkatkan liputan vaksinasi COVID-19 di seluruh AS, mengetatkan protokol ujian saringan untuk semua pengembara antarabangsa dan mewajibkan ujian negatif sehari sebelum berlepas ke negara ini.
Sebelum ini, pentadbiran Biden telah mengumumkan sekatan perjalanan dari Afrika Selatan dan tujuh negara selatan Afrika, susulan kes varian Omicron.
AS juga mengumumkan rancangan untuk melanjutkan peraturan pemakaian pelitup muka untuk perjalanan domestik sehingga pertengahan Mac 2022. Peraturan pelitup muka itu pada awalnya dijadualkan tamat Januari 2022.
Kes kedua varian Omicron di AS dilaporkan di Minnesota pada Khamis, sehari selepas kes pertama disahkan di California.