4 DIS : PAS tidak akan teragak-agak untuk menolak Muafakat Nasional (MN) jika UMNO terus berpendirian enggan menerima parti lain, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama menyertai gagasan perpaduan tersebut.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana berdasarkan piagam MN, kedua-dua parti itu bersedia untuk menerima parti lain termasuk BERSATU dan NGO.
Tegas Hadi, jika kepemimpinan UMNO hanya mahu UMNO dan PAS sahaja berada dalam MN, itu bermakna ia sudah lari daripada perjanjian yang sudah dipersetujui bersama.
“UMNO tak boleh mengarahkan PAS kerana kami parti tersendiri. Kalau nak suruh PAS dengan UMNO saja (dalam MN) itu tidak boleh. Ini disebab kita sudah berjanji dengan parti lain, bahkan tetapkan tarikh nak berjumpa dengan BERSATU dan parti lain termasuk nak terima BERSATU masuk MN,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas Program Mahabbah Rasulullah SAW sempena Maulidur Rasul di Dewan Majlis Daerah Selama, Sungai Bayor hari ini.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Pengerusi jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai ucapannya di majlis itu yang PAS akan melawan sesiapa saja jika ada pihak degil walaupun mempunyai kekuatan, beliau menegaskan ia tidak merujuk kepada mana-mana parti.
“Saya tidak merujuk kepada sesiapa berhubung pihak yang degil itu. Tapi perkara itu akan kita lihat nanti, namun salah satu contoh sudah berlaku di PRN Melaka. Apabila UMNO degil, maka PAS akan lawan,” jelasnya.