6 DIS : Gunung berapi terbesar di Pulau Jawa itu, Gunung berapi Semeru yang meletus, kelmarin, terus memuntahkan lebih banyak debu, sehingga menyebabkan anggota pasukan penyelamat terpaksa menghentikan sementara operasi mengesan mangsa.
Kesemua pasukan penyelamat sudah diarahkan keluar untuk sementara, kerana terdapat letusan baharu yang kecil dan ia boleh membahayakan keselamatan anggota.
Agensi bencana kebangsaan Indonesia memaklumkan, seramai 27 individu dilaporkan masih hilang hingga kini dan 15 dikhuatiri terkorban.
Kepulan asap tebal yang berbahaya dilihat terus menyelubungi kawasan dilitupi debu gunung berapi, manakala anggota pasukan SAR pula bertungkus lumus menggali timbunan sisa letusan untuk mengesan mangsa yang terselamat dan juga mayat.
Sebilangan anggota operasi turut membantu penduduk kampung untuk menyelamatkan barangan dari kediaman mereka yang musnah.
Pegawai menasihati orang ramai supaya tidak mendekati kawasan dalam lingkungan lima kilometer dari kawah gunung berapi itu, susulan kadar pencemaran udara yang tinggi dalam insiden berkenaan serta boleh memudaratkan golongan rentan.