7 DIS: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memperuntukkan sebanyak RM4.13 juta menerusi Bantuan Musa’adah Tijariyyah bagi membantu 1,391 penerima yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Menterinya, Senator Idris Ahmad berkata, bantuan itu seiring dengan gagasan Keluarga Malaysia dan merealiasikan negara yang sejahtera.
“Bantuan Musa’adah Tijariyyah ini untuk mendapat 700 penerima dengan perbelanjaan sebanyak RM2.1 juta tetapi permintaannya terlalu banyak.
“Kita telah luluskan 1,391 penerima membabitkan 1,609 penerima di Kuala Lumpur, 485 penerima di Labuan dan 47 penerima di Putrajaya,” katanya sewaktu pertanyaan menteri di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah Gagasan Keluarga Malaysia amat dekat dengan rakyat secara keseluruhan dan sejauhmanakah tindakan yang diambil oleh Kerajaan agar umat Islam di Malaysia tidak tertinggal dalam menyahut hasrat itu khususnya dalam membantu usahawan Muslim dalam tempoh 100 hari lalu yang terkesan dengan COVID-19.
Mengulas lanjut, Idris berkata, pihaknya turut melaksanakan inisiatif Program Keusahawanan Asnaf (ISHRAF) 2.0 dengan kerjasama SME Bank dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
Program itu katanya, membabitkan 79 orang asnaf yang memperoleh sebanyak RM10,000 setiap seorang selain YaPEIM memberikan latihan perniagaan.
“Program ketiga ialah bantuan peniaga kecil yang dibuat oleh Tabung Haji melalui program khidmat masyarakatnya denga membabitkan 1,620 orang penerima membabitkan kos RM810,000.
“Program terakhir, YaPIEM memberi bantuan kepada seramai 1,600 orang peserta untuk meningkatkan skil perniagaan mereka,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff berkaitan kebajikan iman dan guru takmir di seluruh negara, beliau berkata pihaknya telah melaksanakan inisiatif seperti pelaksanaan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO) sebanyak RM232.82 setahun bermula Mac 2021 lalu dan bayaran on-off sebanyak RM500 kepada bilal, iman, noja dan guru takmir.
“Kita juga mengadakan kelas guru pengajian takmir secara dalam talian dan bersemuka di seluruh negara apabila suasana COVID-19 mula menurun.
“Pada tahun depan guru takmir akan ditambah 1,000 orang lagi untuk memenuhi keperluan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), penjara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.