7 DIS : Sembilan individu yang terlibat dalam kes penyelewengan geran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) akan dituduh di mahkamah awal tahun depan.
Perkara tersebut disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di mana menurut beliau, siasatan kes tersebut kini berada di peringkat akhir dan pihak pendakwa raya bersetuju membuat pertuduhan dalam masa terdekat.
Jelas Azam Baki, perbincangan dengan pendakwa raya sudah pun dibuat beberapa kali dan mereka bersetuju dengan beberapa pihak supaya dicadangkan pertuduhan kepada individu yang terlibat kes penyelewengan geran Mitra.
“Mungkin mereka dituduh pada awal tahun depan, individu yang akan didakwa bukan syarikat. Setakat yang saya tahu, tidak kurang sembilan orang yang akan didakwa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini selepas menghadiri Majlis Kolokium Antirasuah “Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintegriti”di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan di sini.
Jelas Azam Baki, siasatan membabitkan kes rasuah tersebut adalah rumit dan memakan masa yang panjang, justeru siasatan secara berfasa perlu dilaksanakan.
“Buat masa ini, kami masih meneruskan siasatan terhadap syarikat lain kerana penyiasatan kita sekarang ini membabitkan banyak syarikat. Kami akan selesaikan siasatan untuk 10 syarikat dulu.
“Ada 17 syarikat lagi sedang disiasat dan kemudian kami teruskan lagi ke syarikat lain seperti mana saya janjikan dahulu mengenai pembuktian adakah geran yang diberikan kepada syarikat ini dibelanjakan dengan betul ataupun tidak,”ujarnya.
Siasatan SPRM berhubung pengurusan dana agensi berkenaan kini terbahagi kepada dua fasa, dengan fasa satu terarah kepada kira-kira 27 syarikat, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menerima antara RM1 juta hingga RM9 juta.
Fasa kedua siasatan pula akan dijalankan menerusi kerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara, menerusi penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi memperhalusi kesahihan penggunaan geran Mitra, membabitkan peruntukan kurang daripada RM1 juta.
Berdasarkan siasatan terhadap 10 syarikat dalam fasa satu sebelum ini, didapati 80 peratus daripadanya menyalahgunakan dan menyeleweng peruntukan untuk kepentingan peribadi, berbanding tujuan asal iaitu meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat India.