9 DIS : Seorang lagi kakitangan Hospital Kajang, Selangor didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah berhubung pengurusan jenazah April tahun lalu selepas tiga rakan sekerjanya turut didakwa atas pertuduhan yang sama di mahkamah Seksyen Shah Alam semalam.
Penolong pegawai perubatan, Mohd Fariq Ariffin, 34, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim M. Bakri Abd Majid atas tuduhan menerima habuan RM300 hingga RM400 bagi setiap jenazah daripada ejen mengikut jenis kematian.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Unit Forensik Hospital Kajang didakwa menerima rasuah sebanyak RM1,750 di CIMB Cawangan Bercham, Ipoh antara 28 April lepas hingga 5 Februari ini.
Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibawah Seksyen 24 (1) akta sama yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin di samping syarat tambahan untuk melaporkan diri setiap awal bulan di pejabat SPRM terdekat selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Pendakwaan hari ini dilakukan timbalan pendakwa raya Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Syahrul Nizam.
Mahkamah turut membenarkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk disebut semula pada 10 Januari bersama tiga tertuduh lain.