10 DIS: Vokalis kumpulan Screen, Gmie atau nama sebenarnya Hajmi Ibrahim meninggal dunia pada pukul 2.30 pagi tadi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Penyanyi popular itu meninggal dunia pada usia 50 tahun akibat penyakit buah pinggang berlubang.
Menurut anak Allahyarham, Siti Hadirah, beberapa hari sebelum ini, ayahnya kurang sihat dan hilang selera makan.
Bahkan, kata Siti Hadirah, Allahyarham juga pengsan di rumah sebelum keluarga menghubungi ambulans.
“Abah pengsan sebab kekurangan darah. Keluarga buat keputusan bawa Allahyarham ke hospital. Semasa dirawat di hospital, keadaan abah stabil dan kami sempat juga membuat panggilan video.
“Bagaimanapun, dalam pukul 1.30 pagi tadi, doktor menghubungi kami memaklumkan abah kritikal sebelum abah menghembuskan nafas terakhir,” lapor Astro AWANI.
Siti Hadirah turut memaklumkan pemergian allahyarham di Instagramnya hari ini.
Jenazah disolatkan di Masjid Jamiatul Islamiah, Kampung Medan, Petaling Jaya, pagi ini, sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran.
Gmie menempa nama sebagai antara penyanyi terbaik negara menerusi kumpulan Screen yang masyhur dengan lagu Bila Cinta Didusta dan Tak Suka Tak Apa.
Allahyarham pernah menyertai pertandingan Gegar Vaganza musim ketiga terbitan Astro pada 2016.