10 DIS: Projek Jambatan Batang Igan bernilai RM285 juta yang menghubungkan rangkaian jalan pesisir pantai di Sarawak dijangka siap pada tahun 2024.
Projek tersebut yang dibatalkan pembinaannya oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 3 Ogos 2018 kini dilaksanakan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak.
Kementerian Kerja Raya dalam kenyataan hari ini berkata, Kerajaan Persekutuan tidak pernah menangguhkan projek berkenaan yang sepatutnya bermula pada 2018, namun perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 ((PRU-14), ianya tidak diteruskan oleh Kerajaan PH.
Malah, katanya, PH turut membatalkan dua lagi projek jambatan utama di pesisir Sarawak iaitu Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Batang Rambungan.
“Kedua-dua jambatan ini juga diteruskan pembinaannya oleh Kerajaan Negeri Sarawak.
“Merujuk kepada Projek Jambatan Batang Igan, ianya telah diluluskan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE) pada 23 Februari 2016 setelah surat rayuan YB Menteri Kerja Raya bertarikh 24 November 2015 diluluskan oleh YAB Perdana Menteri,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, kelewatan projek turut disumbangkan oleh permintaan penduduk yang mahu tapak dipindahkan dari tapak asal ke tapak berhampiran jeti feri Kampung Igan.
Tambahnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah mendapat kelulusan tapak jambatan lebih awal lagi daripada Sarawak State Planning Aurhority (SPA) untuk membina jambatan tersebut lebih kurang 7 hingga 8 kilometer (km) ke hulu Kampung Igan dan kerja-kerja awalan termasuk reka bentuk telahpun siap pada 2016.
Bagaimanapun, katanya, pemindahan tapak melewatkan pelaksanaan projek kerana kerja-kerja awalan seperti ukur tanah dan ukur hidrografik, penyiasatan tanah, reka bentuk struktur jambatan, dan lain-lain perlu dibuat semula dengan ia mengambil masa sekurang-kurangnya setahun.
“Oleh itu, projek yang asalnya dijangka bermula pada 2017 hanya dapat dimulakan pada 2018.
“Malah, untuk rekod panggilan tender juga sudah dibuat pada 20 September 2017 dan tender ditutup pada 18 Disember 2017 dengan Kementerian Kewangan telahpun memberi kelulusan kepada syarikat kontraktor pada 2 April 2018,” katanya.