Berita Tentera Sulu Mahu Tawan Sabah Tidak Benar
10 DIS : Berita berhubung tentera Sulu (RSA) sedang mengadakan komplot untuk menyerang Sabah sepertimana yang dilaporkan South China Morning Post merupakan berita palsu yang telah dimanipulasi individu tertentu yang cemburu dengan keamanan dan keselamatan dikecapi negeri ini serta Malaysia keseluruhannya.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, perjumpaan 19 ‘datuk bandar’ dari selatan Filipina baru-baru ini adalah berkaitan usaha menjaga keselamatan dan rancangan mempertahankan kawasan itu daripada elemen yang menggugat keselamatan, dan bukanlah merancang plot baharu untuk menawan Sabah.
“Daripada maklumat yang kami terima sememangnya ada perjumpaan berkenaan tetapi bukanlah berbincang untuk menyerang Sabah tetapi sebaliknya memperkukuhkan keselamatan mereka.
“Berdasarkan maklumat, perbincangan yang diadakan itu juga memfokuskan kepada pembangunan di kawasan mereka dengan menjemput pelabur luar untuk masuk ke negara jiran berkenaan.
“Perbincangan itu juga dibuat bagi memperkukuhkan lagi sistem pertahanan mereka daripada sebarang ancaman seperti pengganas, perompak dan elemen jenayah lain.
“Tiada kena mengena dengan cubaan untuk menyerang Sabah atau sebagainya,” jelasnya ketika mengulas dakwaan wujud plot untuk menyerang Sabah dengan 600 pejuang dan diusahakan ’19 Datuk Bandar’ di Selatan Filipina.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyematan dan Serah Terima Tugas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), hari ini.
Majlis serah terima tugas membabitkan bekas Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman yang bersara dan digantikan Deputi Komisioner (DCP) Hamzah Ahmad.
Hazani berkata, pihak keselamatan di negara ini termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan agensi keselamatan lain sentiasa bersiap sedia sepanjang masa untuk mempertahankan kedaulatan negara.
Semalam, akhbar ‘South China Morning Post’ melaporkan wujudnya plot untuk menyerang Sabah dengan 600 pejuang membabitkan usaha dan persetujuan ’19 datuk bandar’ dari selatan Filipina.
Sementara itu, Hamzah berkata, ESSCOM kekal komited memikul amanah menjaga keselamatan perairan negeri ini.
“InsyaAllah kita akan jalankan tugas yang diamanahkan sebaik mungkin khususnya di kawasan Pantai Timur. Kita juga akan terus bekerjasama dengan semua agensi terbabit dalam memastikan aspek keselamatan terus berjalan dengan baik,” katanya.