11 DIS: “Apabila diberitahu untuk sertai kejohanan ini perlu tutup aurat, kami tiada masalah.
“Kami juga faham peserta Muslim perlu berhenti untuk tunaikan solat, ini juga kesempatan untuk yang lain berehat, ia baik untuk semua,” kata Naavin Krishnan, Kapten pasukan Hyperrich juara kejohanan Futsal Piala Menteri sempena Bulan Dakwah 2.0 Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Ia juga dianjurkan atas inisiatif Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Kamarul Arief Tuan Soh dan bersempena Aspirasi Keluarga Malaysia.
Menariknya, Hyperrich merupakan pasukan bukan Muslim dari Petaling Jaya yang menyertai kejohanan di sini hari ini.
Mereka menewaskan Junior FT dari Gombak, 4-3 di perlawanan akhir menerusi sepakan penalti.
Dalam pada itu, Naavin berkata, syarat syarat pertandingan dianjurkan YADIM itu sebenarnya mempromosikan keharmonian antara kaum di negara ini, apabila ia menyelitkan unsur bertolak ansur antara satu sama lain.
“Kami sebenarnya rancang untuk hantar pasukan veteran juga, namun atas beberapa sebab mereka tak dapat sertai pada saat akhir,” jelasnya.
Kejohanan futsal pertama kali seumpamanya ini disertai 23 pasukan dari seluruh negara termasuk agensi kerajaan, institusi tahfiz dan sebagainya.
Selain futsal, turut dianjurkan ialah acara memanah dan bowling sebelum ini.
YADIM mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak pihak yang menjayakan program ini seperti petugas kesihatan, RELA dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.