15 DIS: Semua ahli Parlimen diminta menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi menghadapi pandemik COVID-19.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau telah memberi taklimat kepada kepada ahli-ahli Parlimen pada Isnin lepas.
Katanya, taklimat itu mengenai garis panduan serta beberapa syarat yang perlu dipatuhi dalam pindaan itu sebelum jumlah kompaun dikeluarkan atas setiap kesalahan.
“Tak kanlah kita nak bagi kompaun RM10,000 kalau tidak pakai pelitup muka. Ada syarikat pendapatan berbilion ringgit setahun, jadi kalau akta sedia ada hanya membenarkan KKM (Kementerian Kesihatan) memberi kompaun RM1,000 kepada kilang yang telah banyak kali menjadi kluster, setelah kita buat penilaian kalau itu silap mereka patutlah ambil tindakan.
“Jadi saya minta jangan tempangkan KKM, kalau sekiranya kita tidak dapat pindaan ini. Dari segi perhalusan atau penelitian kita ada garis panduan, ada peraturan dan saya sudah maklumkan kepada pembangkang dan juga semua ahli Parlimen saya akan bawa garis panduan itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas,” katanya.
Khairy berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Cadangan Membina dan Menyiapkan Hospital Baharu Sri Aman Fasa 2 yang turut dihadiri oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof di Seri Aman hari ini.
Menurutnya, garis panduan itu turut melindungi daripada berlakunya kompaun yang terlalu zalim kepada rakyat.