16 DIS : Kerajaan sudah menyalurkan sebanyak RM1.299 bilion secara keseluruhan kepada 38,651 majikan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) bagi mengekalkan 284,354 pekerja tempatan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata setakat 3 Disember, sebanyak 15,097 majikan dan 116,316 pekerja menerima manfaat PenjanaKerjaya 1.0 yang mencapai nilai RM639.30 juta.
Katanya, melalui PenjanaKerjaya 2.0, sebanyak RM589.42 juta disalurkan sebagai insentif pengambilan pekerjaan yang memanfaatkan 16,648 majikan dan 138,659 pekerja, manakala sebanyak RM68.96 juta berjaya disalurkan bagi memanfaatkan 6,906 majikan dan 29,379 pekerja melalui PenjanaKerjaya 3.0.
“Kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif Insentif Penggajian JaminKerja dengan peruntukan RM2 bilion pada 2022.
“Kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-79 yang dikeluarkan hari ini.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan berharap usaha itu dapat mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan baharu dan mengurangkan pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.
Katanya, kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi kerajaan juga akan meneruskan usaha Latihan dan Peningkatan Kemahiran bagi tahun 2022 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.1 bilion yang menyasarkan 220,000 peluang pekerjaan.
Bagi Program Subsidi Upah (PSU), katanya, secara keseluruhan kerajaan sudah menyalurkan RM19.453 bilion kepada 357,102 majikan bagi mengekalkan penggajian 2.95 juta pekerja tempatan dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.
“Melalui PSU 1.0, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja sudah menerima manfaatnya di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) apabila permohonan subsidi upah yang diluluskan mencapai nilai RM12.955 bilion setakat 3 Disember lalu.
“Bagi PSU 2.0 di bawah Pakej Kita PRIHATIN pula, sejumlah RM1.403 bilion disalurkan kepada 81,015 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 715,896 pekerja setakat 3 Disember lalu.
“Bagi PSU 3.0, setakat 3 Disember lalu sebanyak RM3.467 bilion disalurkan untuk mengekalkan penggajian 1.52 juta pekerja, manakala RM2.067 bilion disalurkan kepada 134,851 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 1.62 juta pekerja di bawah PSU 4.0 setakat 3 Dis lepas,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, Skim Jaminan Prihatin DanaJamin (DPGS) di bawah PRIHATIN yang menyediakan kemudahan Skim Jaminan berjumlah RM50 bilion dengan jaminan sehingga 80 peratus daripada jumlah pinjaman bagi tujuan modal kerja dimanfaatkan oleh 58 syarikat dengan jumlah jaminan yang diluluskan RM2.055 bilion.
“Kini sebanyak 11 bank turut terbabit dalam skim ini, antaranya Malayan Banking Bhd, CIMB Bank Bhd, OCBC Bank (Malaysia) Bhd dan lain-lain.