17 DIS : Seorang operator kilang papan menjadi mangsa korban banjir pertama di Pahang selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba meredah air dengan menunggang motosikal di Jalan Kubur Cina, Gambang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata,berdasarkan laporan, kejadian itu berlaku ketika mangsa M Gunalan, 38, dari Taman Gambang Makmur, menunggang motosikal melalui jalan terbabit yang ditenggelami air pada jam 11.30 pagi.
“Bertindak atas maklumat, pasukan penyelamat dari Balai Polis Gambang dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Pada jam 2.22 petang, mayat mangsa kira-kira 100 meter dari tempat kejadian manakala motosikalnya berada di lokasi tempat mangsa terjatuh,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, siasatan awal mendapati beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian cuba menyelamatkan mangsa namun arus deras menyebabkan mangsa dihanyutkan arus deras.
“Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), untuk tindakan lanjut termasuk pengesahan status jangkitan COVID-19 sebelum diserah kepada waris,” katanya
.