21 DIS : Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia Agensi Agama disertai 14 agensi agama di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan turun padang setiap hari ke pusat pemindahan sementara (PPS) khususnya di Lembah Klang.
Skuad bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu dilancarkan Menterinya, Idris Ahmad semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Hakimah Mohd Yusoff, berkata menerusi satu kenyataan hari ini, antara bantuan yang disampaikan seperti makanan sudah dimasak, makanan segera, keperluan asas peribadi, kit ibadah dan lain-lain.
“Skuad ini juga diarahkan membuat persiapan pasca banjir bagi membantu kerja pembersihan di kawasan banjir, khususnya membabitkan kemudahan awam seperti masjid, surau dan dewan orang ramai.
“Pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah seliaan agensi-agensi agama juga akan digerakkan bagi menjayakan misi ini.
“Semua pihak dialu-alukan turut sama menyumbang, khususnya wang tunai bagi tujuan membantu kumpulan sasar,” katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan bantuan melalui Tabung Musaadah Covid-19 JAKIM-Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) ke akaun CIMB8602218186
.