22 DIS : Taufan Rai yang melanda Filipina lewat minggu lalu telah meragut sekurang-kurangnya 300 nyawa semalam dan lebih 500 cedera manakala 50 lagi masih hilang.
Pihak berkuasa Filipina mengesahkan Taufan Rai yang turut dikenali sebagai Odette oleh penduduk tempatan telah meragut sekurang-kurangnya 375 nyawa sejak ia melanda kepulauan itu.
Majoriti kematian yang direkodkan adalah di wilayah tengah Visayas, destinasi utama penyelam di wilayah Bohol, antara beberapa destinasi pelancongan paling popular, dan wilayah Caraga di timur laut Mindanao.
Susulan itu, Presiden Rodrigo Duterte semalam mengisytiharkan keadaan bencana di kawasan yang terjejas teruk iaitu wilayah Mimaropa, Mindoro, Marinduque, Romblon, Palawan, Visayas Barat, Visayas Tengah, Visayas Timur, Mindanao Utara, dan Caraga akibat dilanda Taufan Odette.
Duterte berkata, Majlis Pengurusan dan Menangani Risiko Bencana Kebangsaan mengeluarkan resolusi mengesyorkan pengisytiharan bencana di kawasan terjejas.
Lebih banyak kematian dijangka dilaporkan ketika operasi menyelamat masih diteruskan.
Namun, pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk pergi wilayah terjejas akibat jalan raya dipenuhi serpihan yang musnah, berair manakala perhubungan telefon dan internet juga terputus.